Pembonceng maut, penunggang parah motosikal dirempuh

PADAWAN — Seorang pembonceng motosikal maut manakala penunggangnya cedera parah apabila motosikal mereka dilanggar sebuah kereta di Jalan Batu Kawa-Moyan di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah malam itu, dua individu masing-masing berusia 74 dan 55 tahun menaiki sebuah motosikal bergerak lurus menghala ke lampu isyarat Moyan apabila tiba-tiba telah dirempuh oleh sebuah kereta MPV jenis Toyota Wish dari arah belakang di laluan sama.

“Akibat kemalangan itu, pembonceng motosikal berusia 55 tahun mengalami kecederaan parah dan telah meninggal dunia disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak, manakala penunggang berusia 74 tahun cedera parah di bahagian kaki kiri dan lebam di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Manakala pemandu Toyota Wish berusia 21 tahun tidak mengalami kecederaan.

Abang Zainal menambah, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post