Op Dadu: 246 individu ditangkap, 38 premis dipotong elektrik

KUCHING-- Seramai 246 individu diberkas dalam operasi pembenterasan judi online di daerah Kuching sepanjang tempoh 1 Januari hingga 23 Jun 2023.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, tangkapan itu melibatkan 213 lelaki dan 33 wanita menerusi 193 serbuan Op Dadu (judi online) yang dijalankan.

"Dalam tempoh itu juga sebanyak 38 premis telah dibuat pemotongan elektrik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebanyak 193 kertas siasatan telah dibuka iaitu 154 di bawah Seksyen 4 (1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu perjudian atas talian (online).

Selain itu, katanya 35 kertas siasatan di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu perjudian loteri awam tanpa lesen.

"Manakala empat kertas siasatan di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu mempromosikan permainan perjudian dalam talian (calling centre) dengan menggunakan set komputer.

"Seramai 172 daripada 246 individu yang ditangkap telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuching," tegasnya.

Sehubungan itu, Ahsmon memberitahu, Op Dadu akan diteruskan dan diperhebatkan lagi bagi membanteras aktiviti perjudian haram. 

"Kita amat mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan aktiviti perjudian di daerah Kuching dengan menyalurkan maklumat di balai polis yang berhampiran," ujarnya.
Next Post Previous Post