Polis berkas penyamun kabel kawasan Gita dan Santubong

KUCHING— Polis menumpaskan kegiatan mencuri kabel di kawasan Gita dan Santubong dengan tertangkapnya dua lelaki tempatan di tepi jalan di salah sebuah kawasan perumahan di Santubong.

Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua suspek yang dalam keadaan mencurigakan ditahan pada 5 Julai sekitar jam 3.55 petang.

“Hasil pemeriksaan terdapat pelbagai jenis wayar kabel sambungan elektrik dijumpai dalam guni yang dibawa oleh kedua-dua suspek terbabit.

“Pemeriksaaan lanjut pada tubuh badan kedua-dua suspek juga telah menjumpai beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri wayar.

Hasil semakan, kedua-dua suspek memiliki rekod melibatkan jenayah dadah dan rekod jenayah curi serta pecah rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahsmon menambah, dengan tangkapan ini pihak polis berjaya menyelesaikan sejumlah tujuh kes potong dan curi kabel di kawasan Gita dan Santubong. 

Kes disiasat di bawah seksyen 379 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh yang yang boleh sampai 7 tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Dalam pada itu Ahsmon amat mengalu-alukan maklumat dari orang ramai berkaitan dengan sebarang aktiviti kelakuan jenayah dengan menghubungi balai polis yang berhampiran.
Next Post Previous Post