Imigresen, JPN disiasat - PM Anwar

PUTRAJAYA— Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya menerima maklumat ada unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warga negara dikenakan bayaran tertentu oleh mereka yang layak mendapat status kewarganegaraan.

“Semalam saya terima mungkin masih dalam siasatan di Jabatan Pendaftaran,” katanya pada Perjumpaan Bulanan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Anwar menambah, perkara ini berlaku apabila terdapat kumpulan kecil yang masih dengan sistem dan amalan lama termasuk Jabatan Imigresen berhubung sistem pengopeasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga memerlukan campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri hari ini, beliau menekankan pentingnya untuk kebersamaan dalam mengangkat martabat darjat dan bangsa melalui perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.

“Perkhidmatan yang cemerlang memerlukan masa serta sikap yang istiqamah bagi mengelak imej serta reputasi pentadbiran kerajaan menjadi tempang dan rosak. 

“Kepada pihak yang di atas, termasuk diri saya, mesti selalu turun ke bawah dan lihat sendiri apa yang boleh diperbaiki agar sistem penyampaian perkhidmatan awam negara terus berada di tahap yang terbaik dan membanggakan,” katanya.
Next Post Previous Post