Hotel, jalan baharu pacu pembangunan Gedong
KUCHING -- Pembinaan hotel sembilan tingkat dan jalan baharu terus merancakkan sektor ekonomi di daerah Gedong.
Pembinaan projek itu diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Majlis Penutupan Pesta Gedong 2023 di Dewan Datuk Patinggi Ali, di sini pada Ahad.
Beliau berkata, pembinaan hotel ini wajar bagi menampung jumlah pelawat yang meningkat ke daerah ini.
"Kepesatan aktiviti pelancongan menyebabkan ramai pelawat datang ke sini. Namun mereka menghadapi masalah penginapan yang tidak mencukupi.
"Saya difahamkan semasa Pesta Gedong, hotel dan homestay di Serian penuh. Ini jelas menunjukkan betapa perlunya Gedong sebuah hotel baharu," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu menambah, justeru kerajaan akan membangunkan kawasan di seberang sungai dalam tempoh enam bulan.
"Kawasan ini akan ditembok untuk menjadi tapak pembinaan hotel tersebut selain pejabat daerah Gedong," katanya.
Selain itu, kerajaan negeri turut membina jalan baharu bagi memendekkan perjalanan menghubungkan Serian - Gedong dan Gedong - Samarahan.
"Ketika ini jalan raya antara Ulu Simunjan dengan Gedong sedang dilaksanakan pembinaannya bagi memendekkan perjalanan antara dua tempat itu," kata Abang Johari.
Gambar ihsan Pejabat Premier Sarawak
Cancel
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.