Lelaki dikhuatiri lemas semasa menjala ikan

SIBU--Seorang lelaki berusia 49 tahun dipercayai lemas semasa sedang menjala ikan di Tanjung Latap Sungai Rejang malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya hari ini mengesahkan, semasa kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Payau Meluda berasal dari Rumah Dana Tanjung Latap itu dikatakan keluar menjala udang di sungai berkenaan.

"Sepasukan anggota dari BBP Sibu Sentral bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima makluman berhubung kejadian pada jam 9.56 malam," ujarnya.

Menurut keterangan saksi, mangsa dikatakan keluar menjala di perairan Tanjung Latap di Sungai Rejang. Semasa kejadian, keadaan air didapati sedang surut, berpasir dan cuaca berada dalam keadaan baik.

Selepas itu ujarnya, mangsa tidak timbul selepas turun ke air yang mana jarak dari tebing ke air sungai semasa kejadian kira-kira 20 meter.

Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan di hari yang kedua hari ini dan sebarang perkembangan semasa SAR akan dimaklumkan dari masa ke masa.

Gambar hiasan
Next Post Previous Post