Guru lelaki di Sibu rugi RM89,000 ditipu wanita dari aplikasi Tantan

SIBU—Seorang guru lelaki rugi RM89,000 apabila diperdaya oleh seorang wanita yang dikenalinya menerusi aplikasi Tantan untuk membuat pelaburan emas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, guru sekolah swasta berusia 30-an itu mengenali suspek yang dikenali dengan nama “Jooyee Yap Jia Yuan” pada awal tahun ini dalam aplikasi berkenaan.

"Selepas beberapa hari perkenalan, suspek telah mengajak mangsa untuk membuat pelaburan emas, di mana suspek menjanjikan keuntungan lebih kurang 18 peratus daripada jumlah modal pelaburan yang dibuat.

"Mangsa kemudian diminta untuk memuat turun aplikasi "Bfmdtrade" dan diberikan penerangan berkaitan pelaburan tersebut sebelum suspek meminta mangsa membuat pembayaran wang pelaburan ke beberapa akaun bank," jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa telah melakukan 18 transaksi pemindahan wang keseluruhan bernilai lebih kurang RM89,000 ke 11 akaun bank berlainan di antara penghujung bulan April 2023 sehingga penghujung bulan Mei 2023 yang lalu.

"Mangsa hanya menyedari ditipu setelah tidak menerima apa-apa pulangan daripada pelaburan yang dibuat dan suspek juga gagal 
dihubungi.

"Mangsa kemudian tampil membuat laporan untuk siasatan lanjut pihak polis," katanya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Justeru, Azman menasihati orang ramai agar hanya membuat pelaburan di platform yang betul serta berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat kewangan dari ejen yang berdaftar sahaja tentang sesuatu pelaburan.

"Jangan sesekali menekan pautan atau memuat turun android package kit (apk) yang tidak diketahui kesahihannya," ujarnya.
Next Post Previous Post