Bukan sekadar pembangkang, DAP tumpang rezeki GPS di Persekutuan

Wong Soon Koh (kiri) dan Chong Chieng Jen

SIBU— Tindakan DAP sebagai pembangkang di peringkat kerajaan negeri adalah salah daripada segi moral memandangkan parti itu menumpang rezeki Gabungan Parti Sarawak sebagai ‘king maker’ untuk kelangsungan di Persekutuan.

Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Sri Wong Soon Koh berkata, kedudukan GPS sebagai ‘king maker’ dalam blok Kerajaan Perpaduan telah membuka laluan kepada pemimpin DAP Sarawak yang sebelum ini ‘jauh panggang dari api’ untuk memegang jawatan penting di peringkat Persekutuan.

Beliau memberi contoh, pelantikan Alice Lau sebagai Speaker Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022, Roderick Wong Siew Lead yang dilantik sebagai Senator pada 20 Mac 2023 dan Kelvin Yii sebagai Penasihat Khas Kementerian kesihatan pada 7 April 2023.

“Kelangsungan atau ‘survival DAP dalam kerajaan Persekutuan bergantung dengan GPS.

“Ironinya, parti yang diwakili mereka inilah amat lantang membidas dan membangkang GPS di peringkat kerajaan negeri. Tindakan ini adalah salah daripada segi moral,”katanya dipetik The Borneo Post pada Jumaat.

Soon Koh berkata demikian berhubung kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen bahawa kerjasama PSB dan Parti Demokratik Progresif yang diikat melalui Perjanjian Persefahaman (MoU) pada 13 Julai lalu bukan sesuatu yang mengejutkan

Chieng Jen malah mendakwa, beliau telah diberi amaran terhadap agenda PSB, terutamanya apabila parti itu bertanding sebagai parti 'pembangkang' tempatan semasa pilihan raya negeri ke-12 pada 2021.

"Ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Malah, ramalan saya telah menjadi kenyataan, bahawa PSB hanya akan kekal sebagai parti pembangkang di Sarawak untuk satu pilihan raya (penggal)," katanya.

Beliau berkata MoU antara kedua-dua parti itu menunjukkan PSB hanyalah 'cabang' Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang akhirnya akan kembali atau menyertai semula gabungan pemerintah negeri itu.

Walapun Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan DAP adalah sekutu di peringkat persekutuan, namun kerajaan negeri diperintah oleh GPS manakala DAP adalah pembangkang.


Next Post Previous Post