Amalkan konsep Tabayyun bendung gejala fitnah - Anwar

Fadillah Yusof mewakili Perdana Menteri Anwar Ibrahim merasmikan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya hari ini. Gambar kredit Facebook Fadillah Yusof

IPOH— Amalan konsep Tabayyun penting untuk menyemak atau memeriksa sesuatu perkara sebelum disebarkan kepada individu lain dalam membendung gejala fitnah yang boleh menimbulkan bibit persengketaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amalan ini relevan untuk memastikan penyebaran maklumat khususnya di media sosial dilakukan dengan penuh berhemah dan berintegriti kerana dunia tanpa sempadan menjadikan perkongsian dan penyebaran maklumat dapat dilakukan dalam kiraan detik sahaja. 

“Yang benar dan salah bercampur-baur dalam dunia maya sehingga adakalanya menimbulkan bibit-bibit persengketaan yang mampu menggugat ketenteraman dan keharmonian hidup rakyat berbilang kaum.

“Sama-samalah kita mengamalkan konsep Tabayyun sekali gus dapat membantu mengekalkan kestabilan negara dan keharmonian dalam kalangan rakyat selain mengelak gejala fitnah,” katanya dalam ucapan perasmian pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya hari ini (16 Julai).

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar berkata, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan merupakan tema yang dipilih pada tahun ini, selari dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara
bangsa yang mempunyai semangat perpaduan yang tinggi, aman dan sejahtera.

“Pemilihan tema ini juga bertepatan dengan konsep Malaysia MADANI dalam memastikan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat menghormati dan ihsan serta didokong dengan perpaduan yang kukuh.

Sempena Bulan Kebangsaan, pelbagai program diadakan untuk menyemarakkan suasana bulan Ogos dan September ini. 

Antaranya termasuklah Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada hari ini, disusuli dengan Sambutan
Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos dan Sambutan Hari Malaysia di Sarawak pada 16 September.

“Kita telah memulakan 6,600 Langkah Perpaduan yang merupakan manifestasi rakyat dan kerajaan sentiasa bergerak ke hadapan dalam mencapai aspirasi Malaysia MADANI yang bersifat inklusif dengan sokongan dan dukungan rakyat berbilang kaum,” katanya.
Next Post Previous Post