Polis rampas 4.101 kg syabu bernilai RM132,000 di Limbang

Syabu yang dirampas di Limbang manakala gambar sisipan Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot 


LIMBANG— Polis Limbang merampas 4.101 kilogram syabu bernilai RM132,000 selepas menumpas sindiket dadah hasil operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Limbang di Jalan Melinau Ulu Mendamit, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata, rampasan yang terbesar itu dilakukan oleh BSJN Limbang pada jam 3 petang

“Hasil siasatan lanjut polis berjaya merampas syabu seberat 4.101 kg bernilai RM132,000.

“Tiga suspek berasal dari Miri berusia 30 hingga 35 tahun turut diberkas ketika berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda dikawasan berkenaan.

“Suspek pertama adalah seorang penganggur, didapati mempunyai dua kesalahan jenayah dadah lampau manakala saspek kedua dan ketiga bekerja dan tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan awal air kencing ketiga-tiga suspek didapati positif dadah,”katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kata Parum rampasan dadah syabu seberat 4.101 kg itu boleh digunakan oleh seramai 20,500 kali penggunaan. 

Ketiga-tiga suspek direman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan bagi pesalah yang disabitkan kesalahan.

Beliau menamah, pihaknya akan meningkatkan usaha untuk membanteras ahli sindiket atau individu yang terlibat, serta melumpuhkan sumber bekalan dadah, kewangan dan aset mereka bagi memastikan kegiatan pengedaran dadah dibanteras habis-habisan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pengedaran atau penagihan dadah dan dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah dan jenayah kepada pihak polis,”ujar Parum.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi IPD Limbang di talian 085-211466 atau Hotline Polis Sarawak di talian 08-2245 522 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Gambar ihsan Polis Limbang
Next Post Previous Post