Kes rompak kedai Batu 11 Matang, tujuh lelaki warga tempatan kini diburu

KUCHING-- Polis kini giat memburu tujuh individu yang disyaki terlibat dalam kes rompakan bersenjata melibatkan sebuah kedai di Batu 11 Jalan Matang yang dipercayai berlaku malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Kita masih giat memburu suspek-suspek yang terlibat. Seramai tujuh suspek yang terlibat yang telah dikenal pasti warga tempatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan suspek boleh menyalurkan terus kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, mangsa seorang lelaki berusia 27 tahun dirompak sekumpulan tujuh lelaki tidak dikenali yang memakai topeng muka sekitar jam 12.52 tengah malam semalam.

Kejadian itu dikatakan berlaku di sebuah kedai kopi di Batu 11 Jalan Matang.

Difahamkan, salah seorang suspek membawa pedang samurai manakala seorang lagi membawa tukul besi bersama lima lagi lelaki menyerbu masuk ke kedai tersebut.

Tindakan perompak berkenaan menyebabkan pelanggan dan mangsa bertempiaran lari menyelamatkan diri kerana ketakutan.

Dikatakan, perompak berkenaan melarikan seunit telefon bimbit jenama Oppo Reno, seunit telefon Vivo dan sekotak besar rokok berisi pelbagai jenis rokok, dan sejumlah wang tunai RM1,000.

Selepas itu, kesemua perompak terbabit melarikan diri menggunakan dua kereta.

Kes masih dalam siasatan.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.