Empat lelaki cederakan Timbalan Menteri Sarawak ditangkap

KUCHING-- Empat suspek yang terlibat dalam kes mencederakan Timbalan Menteri Sarawak akhirnya berjaya diberkas awal pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri yang mengesahkan tangkapan itu berkata, keempat-empat suspek berusia antara 23 hingga 32 tahun ditangkap oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching awal pagi tadi di kawasan Tabuan Hilir, Semariang, Petra Jaya dan Jalan Simpang Tiga.

"Polis turut merampas kereta Volkswegan berwarna putih di Taman Sukma, Jalan Sultan Tengah yang dipercayai dinaiki suspek semasa kejadian.

"Hasil semakan kesemua suspek mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambah Azman, ujian saringan awal air kencing terhadap keempat-empat suspek didapati tiga positif dadah jenis methamphetamine/syabu.

"Manakala seorang lagi positif dadah jenis thc/ganja," ujarnya.

Tegasnya lagi, keempat-empat suspek direman empat hari untuk membantu siasatan lanjut. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai setahun atau
dengan denda yang boleh sampai RM2, 000 atau dengan kedua-duanya dan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya," ujarnya.

Menurutnya, dengan tertangkapnya keempat-empat suspek, polis berjaya
menyelesaikan kes melibatkan seorang Timbalan Menteri Sarawak yang dilaporkan baru-baru ini. 

Katanya, kertas siasatan akan dirujuk ke jabatan peguam negara bagi
mendapatkan arahan tuduh di mahkamah.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.