Wanita maut terperosok bawah 4WD

KUCHING --  Seorang wanita maut terperosok ke bawah sebuah pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux selepas motosikal yang ditunggangnya bersama seorang lagi rakan bertembung dengan 4WD terbabit di hadapan Simpang Taman Emas Batu 9 Jalan Kuching-Serian sekitar jam 10.18 malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataannya hari ini mengesahkan, mangsa yang maut serta-merta di lokasi kejadian dikenali sebagai Nurizaliana Mazlan berusia 32 tahun.

"Seorang lagi mangsa yang turut menaiki motosikal terbabit bersama mangsa yang belum diketahui identiti bagaimanapun dilaporkan hanya mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital oleh pasukan perubatan KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum ketibaan pasukan bomba," jelas beliau.

Sejurus sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati terdapat seorang wanita terperosok pada bahagian bawah 4WD terbabit.

Pemeriksaan yang dijalankan pasukan KKM mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah.

Pemandu 4WD terbabit bagaimanapun ujarmya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pasukan KKM kemudiannya menyerahkan mayat mangsa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Setelah itu, pasukan bomba menjalankan operasi pemeriksaan di lokasi kejadian bagi memudahkan pengguna jalan raya yang lain menggunakan laluan berkenaan sebelum menamatkan operasi menyelamat pada jam 10.50 malam.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post