Parkir kenderaan di garisan kuning, JPJ keluar 12 "surat cinta" kepada pemilik

KUCHING-- Sikap sambil lewa pengguna jalan raya terhadap undang-undang membawa padah apabila 12 pemilik kenderaan menerima "surat cinta" daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuching.

Ini menerusi operasi yang dijalankan Unit Peronda Bermotosikal JPJ Kuching di sekitar laluan Kuching/Samarahan Expressway termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) baru-baru ini.

Jelas JPJ dalam kenyataan di Facebook rasmi hari ini, 12 notis itu dikeluarkan kerana ketidakakuran pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan di garisan kuning.

"Operasi yang dijalankan telah mengesan 46 Jenis kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.

"Di antara notis yang dikeluarkan sempena operasi ini melibatkan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, kesalahan teknikal, tidak mengguna tali pinggang keledar semasa memandu, meletak kenderaan di garisan kuning dan lain lain kesalahan," katanya.

Justeru, JPJ mengingatkan pengguna jalan raya memastikan kenderaan yang digunakan mematuhi undang-undang yang dibenarkan.

Tegasnya, pihak JPJ akan sentiasa melakukan penguatkuasaan secara berfokus dalam memastikan pengguna patuh kepada peraturan dan undang- undang sedia ada.

"Untuk sebarang aduan trafik bolehlah disalurkan terus melalui aplikasi e-Aduan @jpj atau http://jpj.spab.gov.my beserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.