OP Hire 2.0: Seorang lagi individu ditahan reman kemuka butir matang palsu program penjana di Sabah

KOTA KINABALU -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi individu kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu iaitu borang pengesahan pekerja yang mengandungi senarai nama pekerja yang tidak wujud membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM570,000 kepada PERKESO dibawah program PENJANA.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, Sabah semalam ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan.

Sumber berkata, suspek merupakan pemilik syarikat penyedia perkhidmatan latihan dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu kira-kira lebih RM570,000 pada tahun 2020 sehingga 2022. 

Suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada pagi ini dan Majistret Stephanie Sherron Abbie membenarkan permohonan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 21 Mei 2023. 

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Semalam di Mahkamah Majistret yang sama, seramai dua individu dari syarikat yang berbeza telah direman selama lima hari kerana disyaki melakukan kesalahan yang sama membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM550,000.
Next Post Previous Post