'Laksanakan segera MA63 demi rakyat'

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu disegerakan tanpa penangguhan demi manfaat rakyat Sabah dan Sarawak.

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masidi Manjun, berkata kedua-dua negeri itu jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri di Semenanjung.

"Saya sudah semakin tua, namun masih menunggu janji MA63 yang belum dilaksanakan.

"Cukai yang dikutip dari Sabah perlu dipulangkan kepada Sabah supaya Negeri di Bawah Bayu maju seperti negeri lain.

"Konsep Malaysia MADANI penting sebagai kesinambungan Rukun Negara dan rakyat harus menghormati perkara dalam Perlembagaan termasuk keistimewaan Sabah dan Sarawak," katanya berucap dalam sesi Bicara Rakyat di Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dibentuk atas dasar inklusif dan kepelbagaian rakyat sebagai teras kekuatan.

"Apabila ditanya mengenai jawatankuasa MA63, Perdana Menteri menjelaskan tidak perlu kerana perjanjian itu perlu terus dilaksanakan.

"Mungkin ini masanya Malaysia bersinar dan membentuk negara bangsa yang kita inginkan," katanya

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata cabaran membina negara bangsa bukan tugas mudah, apatah lagi bagi Malaysia yang memiliki kemajmukan agama, kaum dan budaya.

Katanya, MCA sentiasa berperanan sebagai ejen muhibah atau perpaduan yang memurnikan serta mengharmonikan masyarakat majmuk di negara ini demi kestabilan.

"Paling penting, kita mahu merapatkan hubungan antara semua kaum di Malaysia. Kita 'menjernihkan air yang keruh, bukannya mengeruhkan air yang jernih'.

"Tanpa kestabilan, negara akan menjadi huru-hara, masyarakat berpecah dan sudah tentu ekonomi tidak dapat berkembang sehingga memberi kesan buruk kepada rakyat jelata," katanya.

Ka Siong menegaskan, kepelbagaian yang dimiliki perlu dirai dan bukan dicemari dengan politik melampau, sebaliknya mementingkan kesederhanaan.

Mengorak langkah ke hadapan, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan perlu mempunyai tata kelola atau tadbir urus baik dengan melakukan perubahan segera terhadap kekurangan atau kelemahan yang ada.

"Mana yang salah kita perbetulkan. Kerajaan wajar bersifat responsif, progresif, inklusif dan sentiasa mendengar suara rakyat.

"Harapan saya agar Kerajaan Perpaduan sentiasa mengutamakan rakyat, mendengar denyut nadi rakyat dan merapatkan saf demi kestabilan politik, seterusnya memajukan ekonomi yang memanfaatkan rakyat serta negara," katanya.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata penubuhan Kerajaan Perpaduan menerajui pentadbiran negara membawa era baharu yang memberi ruang dan peluang kepada rakyat Malaysia menikmati kesejahteraan hidup.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, Kerajaan Perpaduan yang membawa konsep Malaysia MADANI boleh dianggap sebagai menekan butang 'reset' (bermula semula) bagi membaiki segala kesilapan sepanjang negara menghadapi kemelut politik.

"Kenapa kita perlu tekan butang 'reset'? Ini kerana ada banyak kesilapan yang kita lakukan sepanjang tahun-tahun yang lalu.

"Oleh itu kita mesti kembali kepada prinsip asas supaya dapat mara ke hadapan secara bermakna," katanya.

Sumber: Laporan Berita Harian Dan Gambar Hiasan
Next Post Previous Post