Jangan tengok saja, Malaysia perlu membangun seiring negara jiran

KUALA LUMPUR-- Malaysia perlu berada dalam kedudukan yang kompetetif dengan negara-negara jiran khususnya Indonesia yang sedang membangunkan Nusantara di Kalimantan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, untuk itu Kerajaan Perpaduan perlu menumpukan soal pembangunan antara wilayah khususnya bagi negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran.

Tegasnya, kedudukan kerajaan persekutuan mesti melihat pada masa depan negara yang berdepan dengan banyak cabaran dan bersaing dengan jiran. 

"Bila kita lihat (negara) jiran kita membangun, Malaysia juga perlu membangun sama. Misalnya di Sarawak, berjiran dengan Kalimantan iaitu Nusantara yang akan dibangunkan, apakah Malaysia di Sarawak hanya tengok sahaja?," katanya dalam ucapan ketua-ketua pemimpin parti pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan semalam.

Pada masa sama, Abang Johari mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah memberi peruntukan besar untuk pembangunan di Sarawak.

Dalam pada itu, beliau memberitahu ekonomi negara perlu direformasi ke arah ekonomi baharu bagi memastikan Malaysia menyamai pembangunan di negara jiran.

Jelasnya, ekonomi Malaysia perlu berasaskan kepada kemampanan dan tenaga boleh diperbaharui jika negara ingin bersaing dengan yakin dalam kalangan negara jiran.

Justeru, beliau berharap dengan peruntukan besar yang diberikan kepada Sarawak untuk pembangunan di sepanjang sempadan dengan Indonesia, kemudahan seperti Tebedu CIQ akan dinaik taraf untuk menyamai pembangunan semula di Entikong CIQ di sebelah Kalimantan.

Selain itu, Abang Johari menegaskan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahukan sebuah Kerajaan Perpaduan yang stabil dan kuat supaya ia dapat menumpukan tenaga untuk meningkatkan martabat negara di peringkat antarabangsa.

Oleh itu, beliau memberi jaminan Sarawak akan terus memainkan peranan dalam membantu merangka segala usaha membangunkan Malaysia.

“GPS akan terus bersama dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk bersama-sama membangun negara tercinta ini,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Anwar memuji Kerajaan GPS Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari yang jauh ke hadapan berbanding negeri lain dalam pembangunan berasaskan teknologi baharu.
Next Post Previous Post