Hanyut dibawa arus, 2 remaja 15 tahun ditemukan lemas

SIBU -- Dua remaja lelaki dilaporkan hilang Jumaat lalu selepas dihanyutkan arus sungai semasa mandi di Sungai Rajang berdekatan pekan Durin, kira-kira 26km dari Sibu, ditemukan lemas hari ini.

Ketua Bomba Sibu, Andy Alie, berkata mangsa pertama, Justin Siaw ditemukan pada 7.35 pagi, manakala mangsa kedua Kong Wei Seng pada 8.15 pagi.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 15 tahun ditemukan pada jarak antara lima dan 10km dari lokasi kejadian.

“Pengecaman kedua-dua mangsa dilakukan ibu bapa masing-masing di lokasi,” katanya menurut Bernama.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, dua remaja itu dikatakan sedang mandi di sungai berkenaan bersama seorang lagi rakan, apabila kedua-duanya dilihat dibawa arus dan terus tenggelam, kira-kira 10m dari jeti berhampiran.

Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu bergegas memaklumkan kepada saudara-mara untuk meminta bantuan.

Sumber: Laporan FMT Dan Gambar Ihsan Bomba
Next Post Previous Post