Kukuhkan perpaduan, raikan perayaan bersama: Abang Johari

KUCHING-- Rakyat Sarawak diseru untuk terus berusaha ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang mempunyai pelbagai agama, bangsa dan budaya di Bumi Kenyalang yang tercinta ini. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagi masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak, sudah menjadi kebiasaan musim perayaan seperti Raya Aidilfitri dikongsikan keceriaan dan kegembiraannya dengan kaum-kaum lain.

"Sama juga seperti keadaan di Tahun Baru Cina, Gawai Dayak atau Krismas yang dimeriahkan dengan amalan kunjung-mengunjung.

"Saya berdoa agar suasana keharmonian akan terus terjalin dalam memperkukuhkan suasana kesepaduan antara pelbagai kaum dan agama di Bumi Kenyalang ini," katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2023 hari ini.

Tegasnya, Islam sentiasa menyeru umatnya agar bersikap jujur dan ikhlas serta mempunyai sifat berbaik sangka, tolong-menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan antara satu sama lain. 

Katannya lagi, nilai-nilai mulia seperti ini hendaklah dihayati kerana umat Islam diumpamakan seperti anggota tubuh yang saling memerlukan antara sesama anggota badan lain yang mana jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit.

"Oleh itu, marilah kita sama-sama mulakan langkah dengan merapatkan saf, bersatu-padu melupakan segala sengketa dan perselisihan faham walaupun kita berbeza dalam banyak perkara dan berusaha untuk bangkit semula menjadi umat yang kuat, bermaruah dan bermatlamat demi kepentingan agama dan ibu pertiwi. 

"Sesungguhnya, perpaduan adalah asas kepada keharmonian dan pembangunan sesebuah negara. Sebaliknya, perpecahan, perbalahan dan permusuhan akan membawa kehancuran dan kemusnahan," katanya.

Pada masa sama, Abang Johari mengingatkan rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan pencegahan memandangkan situasi COVID-19 di negara ini dan di seluruh dunia belum pulih.

"Kita harus sentiasa berjaga-jaga supaya semua kita terus selamat. Pandemik telah mengubah bagaimana kita melihat masa hadapan yang semakin berpaksikan teknologi digital, teknologi hijau, dekarbonisasi dan kelestarian sumber. 

"Walau bagaimanapun dalam keadaan sentiasa berjaga-jaga saya amat berharap saudara dan saudari dapat mengambil kesempatan yang ada untuk bergembira di samping keluarga dan rakan-rakan sempena meraikan Raya Aidilfitri pada tahun ini," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, dengan pendapatan negeri yang dijangka terus meningkat Kerajaan Sarawak turut akan meneruskan pembinaan jalan-jalan raya dan melengkapkan pembangunan utiliti seperti bekalan elektrik dan air di kawasan luar bandar. 

Menurutnya, perubahan lanskap pembangunan global ke arah masa hadapan dunia yang lestari telah meyakinkan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk merangka Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS) 2030 untuk melakar hala tuju pasca Covid yang jelas berteraskan kemajuan ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar. 

"Saya yakin dengan strategi yang digariskan dalam PCDS 2030 Sarawak mempunyai keupayaan untuk terus berada pada landasan yang kukuh ke arah menjadi sebuah wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030, insya-Allah.

"Akhir kalam, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin dan semoga kita beroleh kesejahteraan dan dikurniakan dengan kesihatan yang baik," ujarnya.
Next Post Previous Post