Bunuh abang ipar, pemuda kurang siuman ditahan

SIMUNJAN, 21 April 2023: Seorang lelaki yang disyaki membunuh abang iparnya menggunakan senjata tajam berjaya diberkas polis beberapa jam selepas kejadian di Kampung Lubuk Punggur dekat sini malam tadi. 

Dalam kejadian sekitar jam 7.40 malam itu, mangsa dikenali sebagai Sapuwan Mohamat berusia 62 tahun ditemui anaknya dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di tepi jalan berhampiran kediaman mereka. 

Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Police (DSP) Wong Tee Kue berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh anak mangsa sekitar 12 tengah malam tadi. 

"Berdasarkan maklumat daripada pengadu, mangsa ditemui terbaring di tepi jalan dalam keadaan cedera parah dipercayai ditetak oleh suspek berusia 43 tahun yang disyaki kurang waras dengan menggunakan senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Katanya, siasatan awal polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Simunjan mendapati kejadian itu berlaku selepas waktu berbuka puasa.

"Mangsa yang berada dalam keadaan kritikal ketika itu telah dihantar ke Klinik Kesihatan Samarahan oleh anaknya namun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat mengalami cedera parah di bahagian belakang dan kepala," jelasnya. 

Tee Kue berkata, suspek telah berjaya ditahan oleh polis selang beberapa jam kemudian. 

"Pihak kami juga berjaya merampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam kes pembunuhan tersebut untuk dijadikan sebagai barang kes," katanya.

Menurutnya lagi, mayat mangsa telah diserahkan kepada Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat. 

Tambahnya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Simunjan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Next Post Previous Post