Bina hospital daripada baiki klinik - Roland Engan

MIRI-- Kerajaan Perpaduan diminta mempertimbang pembinaan hospital menggantikan Klinik Kesihatan Long Lama yang masih belum selesai dibaik pulih hampir empat tahun lalu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sarawak Roland Engan, berkata kerja baik pulih klinik itu sudah tentu menelan kos yang lebih tinggi kerana struktur tanah yang tidak stabil.

"Justeru, lebih baik jika Kerajaan Perpaduan memperuntukkan dana secukupnya untuk pembinaan hospital dengan segera," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan Klinik Kesihatan Long Lama bersama anggota Biro Aduan Awam, Keadilan Baram.

Roland menambah, tapak asal pembinaan hospital Telang Usan ialah di Bukit Sabun, Long Lama.

 "Tapak ini telah diperuntukkan untuk pembinaan Klinik Kesihatan Long Lama tersebut tetapi atas faktor tertentu yang tidak diketahui oleh penduduk Telang Usan di Long Lama, klinik tersebut dibina di seberang pekan Long Lama, berdekatan Pejabat Daerah Telang Usan."

"Namun struktur tapak yang tidak stabil menyebabkan tanah jerlus, runtuh dan menyebabkan kerosakan pada struktur bangunan klinik tersebut,"katanya.

Dalam pada itu, Keadilan Baram menggesa Kementerian Kesihatan dan kementerian berkaitan untuk bertindak segera memulihkan keadaan klinik Kesihatan Long Lama dengan segera.

"Penduduk sudah sekian lama menunggu klinik ini diperbaiki bagi memudahkan mereka mendapatkan rawatan," katanya.

Klinik Kesihatan Long Lama tersebut ditutup sejak 2020 berikutan tanah runtuh dan kini beroperasi sementara di Dewan Masyarakat Long Lama.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.