Acu senapang patah, parang, dua lelaki samun kedai 24 jam

SELANGAU--Dua lelaki bertopeng bersenjatakan senapang patah dan parang menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di sini, dan melarikan wang tunai berjumlah RM522 awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhammad Rizal Alias berkata, dalam kejadian pada 3 pagi itu, penjaga premis seorang wanita berusia 33 tahun didatangi dua lelaki tidak dikenali memakai topi dan pelitup muka.

"Salah seorang lelaki terbabit membawa senapang patah manakala seorang lagi menggunakan parang.

"Kedua-dua lelaki itu memaksa pekerja tersebut menyerahkan wang dalam mesin juruwang berjumlah RM522," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kedua- dua lelaki itu juga mengugut akan menembak pekerja terbabit sekiranya tidak menyerahkan wang.

"Melalui rakaman Litar Kamera Tertutup (CCTV) kedua-dua suspek melarikan diri dengan sebuah pikap berwarna putih yang dipandu seorang lagi suspek tidak dikenali.

"Pada 8.30 malam tadi, bertindak Dari hasil siasatan dan risikan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang suspek utama berusia 28 tahun di Batu 10, Jalan Mukah-Selangau serta membuat rampasan sebuah kenderaan, selaras senapang patah, satu butir peluru hidup, dua bilah parang, pakaian Dan beberapa peralatan yang digunakan semasa melakukan samun itu," katanya.

Katanya, suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan ugutan jenayah dan dadah.

"Dengan tangkapan ini kes dianggap selesai, namun usaha mengesan dua suspek yang masih bebas giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," tegasnya.
Next Post Previous Post