15 buah rumah di Pujut terbakar, 2 mangsa melecur

MIRI--Dua mangsa melecur dalam kebakaran membabitkan 15 buah rumah di Jalan Pujut Corner berdekatan Gereja St Anthony di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa lelaki hanya dikenali Tom berusia 60 tahun melecur di paha dan belakang badan, manakala seorang lagi mangsa wanita Yong Kak Lin yang belum dikenal pasti usia cedera di kaki kanan selepas terjatuh ketika menyelamat diri dalam kebakaran itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 
2.33 petang dengan menggerakkan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Lopeng dengan bantuan empat anggota BBP Lutong dan tujuh anggota BBP Miri menggunakan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan pikap 
ke lokasi kejadian.

"Kebakaran melibatkan 15 buah rumah struktur tidak kekal di mana 12 buah telah terbakar keseluruhan manakala 2 buah terbakar 50 peratus dan sebuah rumah terbakar 5 peratus.

"Kejadian ini mengakibatkan 65 mangsa hilang tempat tinggal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihak bomba membuat pemadaman menggunakan teknik secara terbuka dan pertahanan membentang tiga aliran 400 kaki enam nozel.

"Dua pasukan pertama membuat pemadaman di hadapan, manakala pasukan kedua membuat pemadaman di belakang rumah yang terbakar. 

"Satu aliran salur bantu mula turut digunakan menggunakan sumber air dari pili bomba berdekatan," katanya.

Katanya, operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 6.35 petang.

Gambar kredit Jason Priestley & Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri.
Next Post Previous Post