Sasar 3 juta pelancong melawat Sarawak tahun ini - Abdul Karim

KUCHING— Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Industri Kreatif Sarawak tahun ini menyasarkan ketibaan tiga juta pelancong antarabangsa membabitkan pulangan hasil RM7.25 bilion, kata Menterinya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan kedatangan 600,037 pelancong bagi Januari dan Februari tahun ini, iaitu meningkat sebanyak 320.2 peratus bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Melihat kepada jumlah peningkatan dan pelbagai program yang bakal diadakan sehingga hujung tahun, saya yakin sasaran ini dapat dicapai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancong di sini semalam.

Abdul Karim menambah, tahun lalu Sarawak merekodkan kedatangan 2.02 juta pelancong melebihi sasaran asal 1.2 juta pelancong pada 2021.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pusat pelancongan Borneo Highlands Resort kini adalah di bawah Kerajaan Sarawak sepenuhnya.

Sehubungan itu katanya, penyelenggaraannya akan diuruskan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) mengunakan peruntukan yang telah diluluskan oleh Kabinet.

“Kementerian turut meminta MPP untuk ‘menghidupkan’ semula tempat ini yang sudah lama terbiar,” katanya.
Next Post Previous Post