10 kedai pengotor diarah tutup : Ramadan bakal menjelma, hindari penyakit - pilih premis makanan bersih

KUCHING-- Rakyat Sarawak khasnya masyarakat Islam yang akan menjalani ibadah puasa diingatkan untuk memilih premis atau gerai makanan di bazar Ramadan yang bersih. 

Ini bagi memastikan masyarakat terhindar daripada penyakit yang disebabkan persekitaran yang kotor di premis atau gerai makanan ketika membeli juadah untuk berbuka. 

Baru-baru ini, 10 premis makanan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Padawan (MPP) telah diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana terlalu kotor dan tidak selamat kepada pengunjung.

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang menjelaskan, kesemua premis terbabit diarahkan tutup oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching bagi tempoh dua minggu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang itu menambah, premis terbabit melibatkan tujuh kedai kopi, dua kedai bakeri dan sebuah restoran yang dikesan tidak mematuhi peraturan kesihatan yang ditetapkan. 

Jelasnya lagi, kesemua premis ini terletak di Kota Sentosa, Stapok, Pusat Komersial Liang Kee, Pusat Komersial Golden Court dan Matang Jaya.

"Kebersihan premis tidak boleh diambil mudah oleh para peniaga kerana keselamatan pengunjung harus diutamakan.

"Semasa pemeriksaan ke atas premis-premis ini turut ditemukan najis tikus dan lipas,” katanya.

Tegas Lo, MPP dan pihak KKM tidak akan berkrompomi dengan peniaga yang mengabaikan kebersihan premis.

Justeru, kata beliau, pihak tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan seperti ini.

"Tindakan boleh diambil terhadap mereka yang ingkar mengikut Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996 dan Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999," ujarnya.
Next Post Previous Post