Profesor ditahan reman selama lima hari

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang Timbalan Pengarah di sebuah universiti awam tempatan bagi membantu siasatan kerana dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya untuk mengambil wang berjumlah lebih RM30,000 hasil keuntungan program konferensi antarabangsa anjuran institusi berkenaan. 

Perintah reman selama lima hari bermula hari ini hingga 6 Mac 2023 dikeluarkan oleh Majistret Nur Faizah Abdul Sani di Mahkamah Majistret 3, Shah Alam, Selangor selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi ini.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40an itu yang juga merupakan Profesor bergred Jusa C dipercayai telah ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, dalam kejadian yang berlaku pada Ogos 2021 itu, suspek dikatakan telah membuat keputusan sendiri untuk memasukkan wang keuntungan tersebut ke dalam akaun bank peribadi miliknya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Next Post Previous Post