Jambatan Rambungan 42% lewat dari jadual

KUCHING— Timbalan Menteri Infrastruktur Ir. Aidel Lariwoo tidak dapat menyembunyikan kegusaran melihat perkembangan projek Jambatan Rambungan yang sudah terlalu jauh ketinggalan dari jadual penyiapan.

“Saya berasa sangat khuatir jambatan ini tidak dapat disiapkan mengikut masa kerana kita telah berusaha dengan sebaik mungkin untuk menghubungkan kawasan Rambungan sebagai satu jalan pesisir.

Setakat ini kita sudah menyiapkan lapan jambatan kecil di sepanjang jalan pesisir dari Kuching ke Sempadi-Lundu. Tinggal Jambatan Rambungan sahaja. Laluan ini tidak lengkap sekiranya jambatan ini tidak siap,” katanya kepada media selepas meninjau perkembangan projek Jambatan Rambungan di sini hari ini.

Beliau menambah, projek itu sekarang telah mengalami kelewatan yang agak kritikal iaitu 42 peratus. 

Aidel yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas selepas ini untuk memastikan Jambatan Rambungan ini dapat disiapkan sebagai salah satu jalan penghubung pesisir yang penting di kawasan Lundu dan kawasan sekitarnya.

“Mengikut laporan daripada pemaju projek, jambatan ini dijangka siap pada pengakhir 2024. itulah yang menimbulkan kebimbangan kita,” katanya.

Sebelum ini Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa pihak kontraktor yang membina Jambatan Batang Rambungan untuk selesaikan segera masalah aliran tunai dan isu kekurangan pekerja,

Beliau berkata, ia berikutan jambatan dengan kos RM98.5 juta itu mengalami kelewatan hampir tiga tahun.

Katanya, sebelum ini projek ini terhenti untuk tempoh dua tahun akibat sekatan yang dikenakan ketika pandemik Covid-19.

Jambatan Rambungan satu laluan dua lorong sepanjang 560 meter itu dianugerahkan kepada sebuah syarikat usahasama tempatan dan China, sebagai sebahagian daripada projek Jalan Pesisir Sarawak.

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak berkata, projek tersebut dijadualkan siap pada 16 Disember 2022, namun setelah disemak semula, ia djadualkan kepada 23 Jun tahun ini.

"Pihak kontraktor akan dikenakan hukuman berat jika gagal mematuhi jadual akhir siap," tegas Uggah. 

Namun sukar untuk menyalahkan kontraktor sepenuhnya. Hujan lebat sejak November tahun lepas hingga hari ini memburukkan keadaan yang menyukarkan kontraktor untuk menyiapkan projek tersebut mengikut jadual.
Next Post Previous Post