Pejalan kaki warga emas maut dilanggar lari, polis giat kesan kenderaan terlibat

SERIAN-- Seorang pejalan kaki warga emas wanita maut selepas dilanggar lari sebuah kenderaan di Kilometer 80 Jalan Kuching-Sri Aman awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata, polis menerima panggilan sekitar jam 6.20 pagi yang memaklumkan satu kemalangan langgar lari melibatkan mangsa, Singgot Lumba yang berusia 67 tahun. 

"Kemalangan berlaku semasa mangsa sedang melintas jalan dari arah sebelah kiri jalan arah menuju ke Sri Aman. 

"Mangsa dipercayai telah dilanggar sebuah kenderaan belum dikenal pasti yang datang dari arah Serian," katanya menerusi kenyataan media hari ini. 

Jelasnya, akibat perlanggaran ini, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Kata Aswandy, mangsa ditemui oleh penduduk kampung yang melalui kawasan terbabit. 

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serian untuk dibedah siasat," ujarnya. 

Tegasnya, Kes ini disiasat di bawah seksyen 41(1) APJ 1987. 

Sehubungan itu, beliau menyeru agar masyarakat awam menyalurkan maklumat berkenaan kes ini. 

Tambahnya, sebarang maklumat berkenaan kes kemalangan ini boleh menghubungi Sub Inspektor Adrian Francis di talian 019-8347530 atau 082-874260.
Next Post Previous Post