Marah dilapor terjebak dadah punca penganggur bakar rumah sendiri di Mukah

MUKAH--Marah kerana ahli keluarga melaporkan kegiatannya terlibat dalam penagihan dadah menjadi punca seorang penganggur bertindak membakar rumah mereka sendiri yang menyebabkan 12 keluarga hilang tempat tinggal di Skim Penempatan Semula Kampung Sungai Alo,
di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, berikutan pihak polis telah membuat tangkapan terhadap suspek lelaki berusia 30 tahun.

"Punca kejadian dikatakan apabila suspek marah dengan ahli keluarganya kerana suspek mengesyaki adik-beradiknya telah melaporkan kepada pihak polis tentang kegiatannya terlibat dalam penagihan dadah. 

"Selain itu, suspek juga disyaki di bawah pengaruh dadah sewaktu kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan rumah kampung jenis kayu setingkat yang mempunyai empat bilik tidur terbakar keseluruhan dalam kejadian tersebut dan api berjaya dipadamkan oleh pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah.

"Bagaimanapun, kebakaran tidak melibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan terhadap penghuni rumah berkenaan.

"Kita telah membuat permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek hari ini bagi meneruskan siasatan lanjut.

"Ujian urin turut dilakukan ke atas suspek, selain mendapatkan laporan kebakaran dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah," ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
Next Post Previous Post