Malaysia, Hong Kong perkukuh hubungan dua hala

KUALA LUMPUR--Hubungan dua hala antara Malaysia dan Hong Kong akan diperkukuh bagi membolehkan kedua-dua negara bekerjasama meneroka peluang ekonomi baharu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Hong Kong merupakan antara rakan dagang terpenting bagi Malaysia dan menjadi destinasi eksport Malaysia yang ke-lima terbesar. 

"Nilai dagangan di antara Malaysia dengan Hong Kong juga telah mencatatkan peningkatan sebanyak 20% pada tahun 2022, iaitu daripada USD21.68 billion pada 2021 kepada USD25.69 billion pada 2022," katanya.

Fadillah berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Kewangan Hong Kong, Paul Chan Mo-Po di Bilik Kunjungan Hormat, bangunan Parlimen hari ini.

Fadillah berkata, perjumpaan itu merupakan perjumpaan peringkat tertinggi yang pertama di antara Malaysia dan Hong Kong dalam tempoh tiga tahun.

"Dalam pertemuan itu saya telah menyentuh mengenai pentingnya memperkukuhkan hubungan dua hala."

"Selain itu membuka peluang baharu kepada sektor lain yang berpontensi tinggi seperti perkhidmatan, agrikomoditi, pelancongan dan kebudayaan, pendidikan, perkhidmatan, dan
 ekonomi digital," katanya.

Pada pertemuan itu, Paul Chan Mo-Po turut menjemput Fadillah untuk mengadakan lawatan rasmi ke Hong Kong dan melawat hub ekonomi terbaharu iaitu The Greater Bay Area (GBA) yang menghubungkan wilayah Guangzhou-Hong Kong-Macao. 

GBA ini merupakan sebuah kawasan yang mempunyai potensi besar pelaburan khususnya dalam sektor teknologi tinggi.

"Malaysia berharap kunjungan ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dan mengeratkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara, selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia untuk memulihkan ekonomi negara pasca COVID-19," kata Fadillah lagi.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu turut disertai oleh Abdul Hadi Omar, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Belvinder Kaur Sron, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan para pegawai daripada KPK.
Next Post Previous Post