APMM patah cubaan seludup 120,000 liter diesel

MIRI--Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 120,000 liter diesel yang didalangi warganegara tempatan di perairan Miri semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Mohd Shafie Paing berkata, kapal itu ditahan oleh unit peronda Maritim sekitar 12 tengah hari pada kedudukan 6 batu nautika dari barat laut Kuala Baram.

"Ketika ditahan, kapal tersebut dikendalikan sembilan kru termasuk tekong yang kesemuanya warganegara tempatan berumur 21 hingga 66 tahun itu sedang belayar dari perairan Baram menuju ke Miri sebelum ditahan oleh Maritim Malaysia."

"Pemeriksaan awal mendapati kapal tersebut disyaki melakukan beberapa kesalahan, antaranya kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, kerana vesel membawa lebih muatan, dan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana kerana tiada dokumen Surat Control Supplies Act (CSA)."

"Kapal yang membawa diesel beranggaran 120,000 liter itu juga disyaki tiada Sijil Petroleum Development Act (PDA), serta disyaki membawa minyak diesel melebihi kuantiti yang dibenarkan di dalam Borang C semasa diperiksa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kesemua kru, kapal serta anggaran diesel sebanyak 120,000 liter yang bernilai lebih kurang RM300 ribu ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV), Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat.

Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, serta Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi individu perseorangan, atau RM2 juta bagi pertubuhan perbadanan dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Maritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan di perairan negara dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti pelanggaran undang-undang, penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negara.

Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082- 432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

📸 Maritim Malaysia
Next Post Previous Post