Kes bunuh pekerja ladang di Lundu, dua suspek ditangkap di sempadan Indonesia

KUCHING-- Polis Sarawak berjaya menangkap dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang pekerja ladang di Lundu pada 10 Mac lalu, 
di hadapan Bangunan CIQ Biawak, Lundu, dekat sini semalam. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri yang mengesahkan kes bunuh itu berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 25 tahun ditangkap oleh sepasukan polis di lokasi tersebut untuk siasatan.

"Pasukan polis turut merampas sebatang senjata yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa dalam kejadian ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelasnya, kes bunuh itu dilaporkan berlaku pada 10 Mac lalu di hadapan ladang Polima Sdn Bhd Lundu sekitar jam 9.20 malam.

"Hasil siasatan mendapati saspek telah bertindak agresif dengan menyerang mangsa yang merupakan seorang pekerja ladang berumur 25 tahun di bahagian kepala dan muka sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya. 

Tegasnya, siasatan terperinci akan dijalankan dari pelbagai sudut. 

"Hasil siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tujuan pertuduhan," ujarnya. 


Sebelum ini, seorang pekerja ladang sawit dijumpai mati dipercayai dibunuh di kawasan jalan raya di sebuah ladang sawit di sini.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata, mangsa berusia 25 tahun berasal dari Kampung Senibong, Lundu dijumpai sekitar jam 10.10 malam.

"Penyelia ladang terbabit telah menghubungi pihak polis dan memberitahu bahawa seorang pekerja ladang telah dijumpai terbaring di atas jalan raya ladang dipercayai dipukul dengan menggunakan objek senjata tajam. 

"Kejadian dipercayai berpunca daripada bergaduh dengan orang luar yang masuk ke kawasan ladang," katanya. 

Mengulas lanjut, katanya, mangsa mengalami kesan koyak, lebam dan berdarah di bahagian muka dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

"Semasa dijumpai, mangsa dalam keadaan terbaring menggunakan baju-T warna hitam dan seluar pendek paras lutut bewarna biru muda dengan kesan muka lebam dan berdarah.

"Hasil maklumat awal, punca kejadian dipercayai mangsa telah bergaduh dan dipukul dengan menggunakan objek tumpul," jelasnya.
Next Post Previous Post