Penduduk Belaga tak mahu terus jadi ‘melukut tepi gantang


KUALA LUMPUR— Kerajaan Persekutuan digesa mempercepatkan pembangunan infrastruktur di daerah Belaga bagi memanfaatkan pembangunan Nusantara, ibu kota negara Indonesia di Kalimantan yang sedang rancak dijalankan ketika ini.

Senator Abun Sui Anyit ketika mencadangkan perkara ini berkata, Kementerian Kerja Raya wajar mempertimbang pembinaan jalan raya persekutuan merentasi daerah Belaga sehingga ke sempadan Indonesia di Kalimantan.

“Kita sedia maklum, daerah Belaga terletak bersebelahan dengan ibu kota Nusantara.”

“Penduduk Belaga tidak mahu menjadi melukut di tepi gantang yang hanya mampu melihat kawasan Nusantara terus rancak membangun,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Negara hari ini.

Senator Abun yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR dan Ketua Cabang PKR Hulu Rajang turut mencadangkan Kerajaan Perpaduan memberikan peruntukan yang lebih besar kepada Sarawak berbanding negeri-negeri lain.

“Kemudahan infrastruktur di Belaga masih jauh ketinggalan berbanding kawasan-kawasan lain di Malaysia. Justeru, kami memerlukan bajet yang besar agar kawasan ini dapat dibangunkan setaraf dengan tempat lain yang lebih maju.”

“Pembangunan ini penting bagi memenuhi aspirasi penduduk Belaga yang mahukan daerah ini dinaiktaraf menjadi bahagian ke-13 oleh kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mempertimbang pemberian subsidi kepada nelayan sungai di kawasan pedalaman seperti yang dinikmati nelayan laut pada masa ini.
Next Post Previous Post