Kemalangan tragis di Jambatan Kuning Mukah 2016, adik Nurlyana Syafina kini sudah masuk sekolah menengah

MUKAH-- Kisah seorang anak yatim piatu, Nurlyana Syafina Mohamad Adika yang kehilangan ibu bapa dan abangnya akibat kemalangan pada 2016 lalu pernah menyentuh seluruh hati rakyat Sarawak.

Mana tidaknya dia ketika kemalangan tersebut hanya berusia enam tahun hilang kedua-dua orang tuanya dan abangnya dalam sekelip mata.

Malah, akibat peristiwa hitam itu, Nurlyana Syafina atau lebih mesra dipanggil Fifi mengalami yang lumpuh separuh badan.

Berikutan kejadian itu, Fifi kini di bawah jagaan neneknya, Majiah Kederi, 64, yang menetap di Kampung Tutus Ulu, Mukah.

Difahamkan, Fifi  perlu bertemu doktor pakar sebanyak empat kali setahun, masing-masing tiga di Sibu dan satu di Mukah dalam usaha pemulihannya sejak tragedi tersebut.

Selain itu, Fifi perlu menjalani sesi fisioterapi dua kali seminggu di Hospital Mukah.

Namun, tekad yang kuat Fifi yang tinggi dan tidak kenal erti mengalah, menjadi pembakar semangatnya untuk meneruskan hidup meskipun perasaan rindu terhadap ketiga-tiga insan kesayangan tebal dalam sanubari hatinya. 

Selepas tujuh tahun peristiwa hitam itu, Fifi kini melangkah ke alam sekolah menengah meskipun serba kekurangan.

Dia tetap gigih menuntut ilmu demi mengejar cita-citanya.

Difahamkan Fifi kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick Mukah di Tingkatan Satu.

Lebih menarik, pihak sekolah turut memainkan peranan untuk memastikan suasana pembelajaran Fifi di situ dijaga sepenuhnya.

"Kami sedang usahakan kemudahan yang terbaik, selesa dan semampu yang boleh untuk memenuhi keperluan adik Fifi seperti meja khas di kelas dan makmal.

"Selain itu, laluan berparit juga telah ditutup dengan rata untuk memudahkan Fifi pergi ke kelas dan makmal," kata SMK St Patrick.

Pada 2 Jun 2016, tiga sekeluarga maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Jambatan Batang Mukah (Jambatan Kuning).

Mangsa terkorban ialah penunggang motosikal Mohamad Adika Sudin, 26, isterinya Jaifa Mohamad, 27, dan anaknya Mohamad Aniq Yuzri, 7 tahun.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 9.30 malam itu, seorang lagi anak mangsa  (Fifi) cedera parah.

Kredit gambar Ahmad Rony Assim via Mukah Oh Mukah
Next Post Previous Post