Kanak-kanak bukan warganegara, tanpa dokumen boleh ke sekolah jika ada pengesahan - Fadhlina

MIRI — Penerimaan masuk kanak-kanak tanpa kewarganegaraan atau tanpa dokumen pengenalan diri ke sekolah kerajaan atau sekolah bantuan tertakluk kepada salah seorang ibu bapa kanak-kanak tersebut adalah warganegara Malaysia, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, syarat itu berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 1 Tahun 2009: Kemasukan Kanak-Kanak Warganegara Malaysia Tanpa Dokumen Ke Sekolah bertarikh 11 Mac 2009.

“Di samping itu, surat pengesahan atau surat perakuan bahawa kanak-kanak tersebut adalah anak kepada ibu atau bapa
warganegara Malaysia perlu diperolehi daripada ketua kampung.”

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi kanak-kanak yang dijaga oleh ibu bapa atau penjaga atau mana-mana badan yang bertanggungjawab
dengan penjagaan kanak-kanak ini secara sah perlu menyelesaikan urusan berkaitan dokumen pengenalan diri dan permohonan kewarganegaraan
kanak-kanak tersebut dalam tempoh dua tahun setelah diterima masuk ke sekolah,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Chiew Choon Man (PKR-Miri) yang bertanyakan pendirian Kerajaan untuk menyemak semula garis panduan
dan prosedur kemasukan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan ke sekolah rendah dan menengah bagi memudahkan proses serta mengecualikan
bayaran kepada kanak-kanak tanpa kewarganegaraan untuk belajar di sekolah rendah dan menengah.

Fadhlina menambah, jika urusan berkenaan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh dua tahun yang diberikan, ibu bapa atau penjaga perlu mengemukakan satu salinan status permohonan dokumen tersebut daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada pihak jabatan pendidikan negeri atau pejabat pendidikan daerah yang berhampiran bagi pengekalan kanak-kanak tersebut bersekolah.

Menjawab pertanyaan mengenai pengecualian bayaran, beliau berkata Subperaturan 5(1) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penerimaan Masuk Murid Ke Sekolah, Penyimpanan Daftar dan Syarat Bagi Pengekalan Murid Belajar di Sekolah) 1998 (P.U.(A) 275/1998), Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] telah menetapkan pembayaran fi oleh kanak-kanak bukan warganegara bagi memasuki sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan. 

“Kadar fi yang ditetapkan adalah RM120 setahun bagi murid sekolah rendah dan RM240 setahun bagi murid sekolah menengah. Fi ini
hendaklah dijelaskan pada setiap awal tahun persekolahan sebelum kanak-kanak ini diterima masuk ke sekolah.

Gambar hiasan
Next Post Previous Post