Datuk Bandar MKBS akui kesilapan, bayar kompaun

KUCHING-- Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng mengakui kesilapannya meletakkan kenderaan rasminya di tepi jalan yang mempunyai garis kuning. 

Jelasnya, pihak majlis telah mengeluarkan kompaun ke atasnya atas kesalahan tersebut. 

"Saya ingin menjelaskan aduan yang disuarakan Yang Berhormat (YB) Violet Yong baru-baru ini berhubung kenderaan rasmi saya yang diparkir di tepi jalan bertanda garis kuning. 

"Hasil siasatan, saya mendapati ia adalah kesalahan says sendiri. Saya dengan seikhlasnya memohon maaf atas kesilapan ini dan apa-apa kesulitan yang disebabkan perkara ini. 

"Pihak majlis telah mengeluarkan kompaun dan saya telah membayarnya. Saya juga akan memastikan kesalahan ini tidak lagi berulang pada masa akan datang," katanya menerusi kenyataan di Facebooknya. 

Jelas Wee, sebagai Datuk Bandar adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menunjukkan teladan yang baik dalam mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. 

Tegasnya, beliau percaya tiada siapa kebal dan melebihi undang-undang. 

"Saya amat komited berpegang kepada prinsip ini.

"Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada YB Violet di atas keprihatinan beliau dalam membuat aduan berhubung kepatuhan peraturan trafik ini," ujarnya.
Next Post Previous Post