Geng curi kereta tumpas
KUCHING-- Tiga lelaki miliki rekod jenayah diberkas disyaki 'geng' curi kereta di hadapan sebuah kedai Batu 10 di Jalan Penrissen di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata ketiga-tiga suspek lelaki tempatan ditangkap sekitar jam 5.15 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Padawan di lokasi tersebut.
Jelasnya, suspek pertama berusia 32 tahun, mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Manakala suspek kedua berusia 36 tahun mempunyai enam rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, katanya suspek ketiga berusia 32 tahun mempunyai tiga rekod kesalahan lampau di bawak Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Ketiga-tiga suspek ditangkap di bawah Seksyen 379A (1)/ Seksyen 511 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Jelasnya Abang Zainal, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Chevrollet berwarna hitam beserta sebatang anak kunci.
Tambahnya, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Samarahan.
"Kesemua tangkapan akan direman pada hari ini dan akan menjalani ujian saringan air kencing setelah tempoh reman diperolehi," tegasnya.
Cancel
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.