Belasah pemborong sayur separuh mati, PDRM cari Rizal

KUCHING-- Samun dan belasah seorang lelaki warga emas hingga parah di sebuah kedai kopi berhadapan pasar Pentanak pada tengah hari Ahad lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti dan giat memburu suspek terlibat yang dikenali sebagai "Rizal". 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, suspek warganegara Indonesia berusia dalam lingkungan 20-an itu telah disenaraikan sebagai orang dikehendaki untuk membantu siasatan kes tersebut. 

"Penama di atas dikehendaki untuk membantu siasatan bersabit satu kes samun mendatangkan cedera yang dilaporkan berlaku pada 26 Mac lalu sekitar jam 7.15 petang bertempat di sebuah kedai kopitiam, Jalan Petanak. 

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sehubungan itu, katanya, pihak polis amat mengalu-alukan orang ramai untuk tampil memberi kerjasama jika mempunyai maklumat berkenaan individu ini. 

"Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Elvin Manjan di talian 012-8989877 atau menghubungi balai polis yang berhampiran," ujarnya. 

Sebelum ini, seorang pemborong sayur cedera parah dan koma akibat dibelasah dengan kejam oleh perompak di sebuah kedai kopi berhadapan pasar Pentanak.

Menurut sumber, suspek memukul mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an itu dengan objek tumpul di kepala dalam bilik tandas awam di kedai tersebut.

Lebih menyayat hati, selepas dipukul suspek, muka mangsa dihempap dengan sekartun air mineral menyebabkannya terbaring berlumuran darah di tandas tersebut.    

Difahamkan, suspek dipercayai warga asing yang telah bekerja sebulan di kedai kopi tersebut.

Suspek datang untuk membuka kedai kopi tersebut manakala mangsa tiba sekitar jam 12.59 tengah hari.

Menurut saudara mangsa, bapa saudaranya merupakan seorang pemborong sayur-sayuran yang membekalkan sayur-sayuran ke pasar Pentanak. 

Katanya, mangsa biasa mengumpul wang pada sebelah petang dan minum kopinya di sana. 

Anak saudara itu percaya suspek telah memantau pergerakannya sejak sebulan lalu.

Selain itu, beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek menunggu di luar tiolet dan apabila mangsa keluar, dia memukulnya beberapa kali. 

Rakaman itu turut menunjukkan semasa mangsa mengalami pendarahan suspek berterusan menumbuk kepala mangsa walaupun dalam keadaan tidak sedarkan diri. 

Suspek malah mengambil baju kemeja-t gelapnya ketika sedang membelasahnya. 

Dia kemudian mengambil segumpal nota dan kemudian menukar pakaiannya dari beg galas yang diletakkan berdekatan.

Akibat kejadian itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan dan tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, hari ini, mangsa telah sedar namun tidak dapat bercakap dengan polis kerana masih kabur.

Dipercayai mangsa mengalami kecederaan serius di kepalanya.

Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Next Post Previous Post