Cadangan buka kasino di Sarawak bagus untuk ekonomi, perlu ada garis panduan

KUCHING-- Cadangan untuk membuka kasino di Sarawak akan membantu merangsangkan ekonomi negeri ini namun perlu ada garis panduan yang perlu ditetapkan dan dipatuhi, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Beliau yang menyambut baik cadangan itu berkata, jika dapat direalisasikan, ia akan membantu Sarawak menarik pelabur luar datang melabur ke negeri ini.

 "Jika kasino ini dapat menjadi realiti, kita harus mempunyai peraturan tertentu untuk mengawal perjudian di negeri ini.

"Mereka yang mempunyai wang, teruskan kerana ia membantu untuk merangsang ekonomi... anda lihat saya juga bersetuju dengan idea berkenaan

"Manakala mereka yang tidak pandai berjudi dan mereka yang tidak dibenarkan berjudi sewajarnya tidak berbuat demikian," katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Simposium Graduan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan Persatuan Graduan Bidayuh (BGA) di sini pada Sabtu.

Selain meningkatkan pertumbuhan ekonomi, Sagah berkata ia juga mampu menarik lebih ramai pelancong datang ke Sarawak.

"Semasa pemerintahan Lee Kuan Yew, Singapura menentang idea untuk mempunyai sebuah kasino tetapi akhirnya mereka membenarkan perjudian di negara terbabit.

"Malah, negara itu kini sudah membangun dengan sangat pesat sekali," jelasnya.

Justeru, Sagah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat berkata, beliau dan rakan-rakan dalam BGA dan DBNA menyokong cadangan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah itu.

Pada Khamis lalu, Abdul Karim tidak menolak kemungkinan untuk membangunkan kawasan di Padawan menjadi Tanah Tinggi Genting kedua di negara ini. 

"Perkara ini nanti kita serahkan kepada kerajaan Sarawak dalam menentukannya adakah boleh kasino dibina dan beroperasi di sana.

"Ia merupakan satu idea yang bagus jika dikendalikan dengan baik seperti negara Singapura yang juga melaksanakannya asalkan tidak mendatangkan masalah sosial,” katanya.
Next Post Previous Post