Ahli Parlimen Miri bantu mangsa kebakaran

MIRI— Mangsa kebakaran di Kampung Wireless pagi tadi menerima bantuan daripada Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.

Menurut Chiew, beliau terus terus ke lokasi kejadian kebakaran sejurus tiba di Miri pagi tadi.

“Difahamkan mangsa-mangsa kebakaran akan ditempatkan secara sementara di Dewan Komuniti Kampung Lereng Bukit.

“Saya dan pasukan dari Pusat Khidmat Parlimen Miri akan melawat mangsa-mangsa dan menghulurkan bantuan kepada mereka sebentar nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa dukacita kepada mangsa-mangsa kebakaran atas kehilangan rumah dan harta benda mereka.

“Terima kasih kepada Pasukan Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam yang telah membantu untuk memadamkan api dan menjalankan langkah-langkah keselamatan di tempat kejadian. 

“Terima kasih juga kepada agensi-agensi yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Pendidikan Daerah Miri, guru-guru dari SK Sayed Othman Miri yang turut turun membantu mangsa-mangsa,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada badan dan organisasi seperti Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Ranting Kampung Wireless, dan Parti Keadilan Rakyat Cabang Miri atas bantuan yang diberikan kepada mangsa.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan berkata, kebakaran yang berlaku sekitar jam 7.15 pagi tadi menjejaskan kira-kira 80 orang penghuni terdiri daripada 12 keluarga.

“Kebakaran itu melibatkan kira-kira sembilan buah rumah jenis tidak kekal berstruktur kayu. Enam rumah musnah 100 peratus, dua lagi terbakar 50 peratus manakala sebuah lagi terbakar 20 peratus. 

“Kerja memadam kebakaran melibatkan kekuatan 23 pegawai bomba dari tiga balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral, BBP Lopeng dan BBP Lutong,” katanya.
Next Post Previous Post