Tiga kenderaan bertembung di Kilometer 35 Jalan Sri Aman-Kuching, dua maut di lokasi kejadian

SRI AMAN: Dua maut dalam kemalangan ngeri yang membabitkan pertembungan tiga kenderaan di kilometer 35 Jalan Sri Aman-Kuching pada jam 1 petang tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sri Aman, ASP Mas Nur Haslinda Abdullah dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini mengesahkan, mangsa maut merupakan penunggang motosikal dan penumpang yang duduk pada bahagian belakang sebuah kereta.

Menurut beliau, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati semasa kemalangan, penunggang motosikal model Modenas Kriss yang bergerak dari arah Kuching menuju ke Sri Aman memotong sebuah kenderaan di hadapan dan masuk ke laluan bertentangan lalu berlanggar bertembung dengan sebuah lori model Hino.

"Pertembungan kedua-dua kenderaan ini menyebabkan lori terbabit hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah lagi kenderaan jenis Honda HR-V sebelum terbabas ke bahu kanan jalan lalu terbakar," ujarnya.

Pasukan paramedik dari Hospital Sri Aman yang turut berada di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa maut di lokasi kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sri Aman bagi tujuan bedah siasat manakala mangsa yang mengalami kecederaan turut diberikan rawatan susulan di hospital sama.

Mas dalam pada itu menyeru agar mana-mana individu yang menjadi saksi kejadian agar menghubungi talian 083-322121 sambungan ke 267 bagi memudahkan urusan siasatan berhubung insiden.

"Saya turut menasihatkan agar pengguna jalan rayar sentiasa berhati-hati semasa memandu bagi menggelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku," ujarnya.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Gambar PDRM dan PGO Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak
Next Post Previous Post