Kukuhkan pakatan negara pengeluar minyak sawit, Fadillah adakan lawatan kerja ke Indonesia

KUCHING-- Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan pakatan negara pengeluar minyak sawit dan menggiatkan kempen positif secara bersama di samping mengadakan dialog dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk negara pengeluar dan pengguna minyak sawit. 

Tindakan ini merupakan salah satu usaha untuk membetulkan persepsi yang tidak baik ke atas produk minyak sawit. 

Ekoran daripada ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke Indonesia bermula hari ini dalam usaha untuk memperkukuh lagi kerjasama serantau dalam sektor agrikomoditi.

Semasa lawatan itu Fadillah akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto untuk membincangkan isu-isu berkaitan industri sawit. 

Fadillah menerusi kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Perladangan dan Komoditi hari ini berkata, antara perkara utama yang akan dibincangkan ialah berkaitan strategi yang perlu disusun secara terancang untuk menangani peraturan Kesatuan Eropah (EU) terutamanya European Union Deforestation Regulation (EUDR) yang meletakkan industri sawit dalam risiko.

Selain itu, katanya, kerjasama melalui Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) akan terus dipertingkat bagi kepentingan bersama.

Menurutnya lagi, kerjasama Malaysia dan Indonesia amat penting di peringkat antarabangsa dengan organisasi pelbagai hala termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendesak pensijilan dan rangka kerja di peringkat global.

“Kerjasama ini penting kerana isu persijilan dan kebolehjejakan merupakan elemen yang dititikberatkan dalam pelaksanaan EUDR dan akses kepada pasaran global.

“Kementerian berharap lawatan ini akan menggerakkan langkah tersusun secara kolektif demi menjaga kepentingan industri sawit daripada serangan pihak luar terutamanya EU melalui halangan perdagangan yang berbentuk diskriminasi," ujarnya.

Selain itu, Fadillah juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Indonesia Dr Zulkifli Hasan untuk membincang dan memperkukuh kerjasama sedia ada antara Malaysia dengan Indonesia melalui Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) dan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

"Perbincangan juga akan memberi tumpuan kepada cadangan penubuhan Majlis Getah ASEAN (ArCo) di bawah ASEAN," ujarnya.

tamat
Next Post Previous Post