Salah guna kuasa penjawat awam direman oleh SPRM

KUCHING - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya untuk mendapatkan kerja-kerja perkhidmatan pengangkutan berjumlah kira-kira RM130,000 menggunakan syarikat milik isterinya pada tahun 2019.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 11 Februari 2023 dikeluarkan oleh Majistret Zaiton Anuar di Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak 
selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Menurut sumber, suspek berusia dalam lingkungan 50-an itu dipercayai ditahan kira-kira jam 6.30 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kuching, Sarawak.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Next Post Previous Post