Taman Awam Miri, apa sudah jadi?

MIRI— Taman Awam Miri yang sebelum ini menjadi tarikan pengunjung untuk beriadah, kini terbiar dan dalam keadaan usang.

Taman seluas 20 ekar ini menyediakan banyak kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak, jambatan gantung, taman flora, menara tinjau dan trek jogging.

Bagaimanapun, sejak tahun lepas kemudahan di taman awam ini tidak lagi diselenggara dengan baik. 

Pengunjung Peter Kallang berkata, kebanyakan kemudahan di taman itu sudah rosak, tidak diselengara dan ada yang perlu diganti bagi menjamin keselamatan pengunjung.

“Apa yang terjadi kepada Taman Awam di Miri sehinggakan keseluruhan taman itu kelihatan hampir terbiar?

Taman ini adalah contoh klasik projek yang menelan kos berjuta-juta duit rakyat namun kemudiannya terbiar dan diabaikan,” katanya kepada Borneo Network hari ini.

Beliau menambah, kerajaan dan pihak pengurusan Majlis Bandaraya Miri (MBM) perlu mengutamakan pembaikan dan penyelenggaraan taman ini sebelum melakukan projek pembesaran dan naik taraf.

Pada September lepas, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Sri Lee Kim Shin mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi projek membesar dan menaik taraf taman tersebut.

Beliau menambah, apabila siap nanti Taman Awam akan mempunyai keluasan 30 ekar berbanding 20 ekar sekarang menjadikan ia taman terbesar di Miri.

Difahamkan projek itu sepatutnya bermula pada Oktober tahun lepas dan dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.
Next Post Previous Post