Majlis Bandaraya Miri tubuh Pasukan petugas khas tangani gelandangan di Old Man Street Miri

MIRI--Satu pasukan petugas atau 'task force' untuk "membersihkan' kawasan Old Man Street Miri daripada menjadi tumpuan golongan gelandangan tegar ditubuhkan hari ini.

Untuk rekod, kawasan Old Man Street telah menjadi tempat idaman persinggahan golongan gelandangan tegar yang mengambil kesempatan menjadikan ia tempat tidur malah membuang air kecil atau besar di tepi kedai di kawasan itu lebih daripada dua dekad.

Menurut Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang semasa mempengerusikan satu mesyuarat khas pada Rabu, bersama beberapa agensi yang terlibat, penubuhan pasukan petugas itu adalah salah satu usaha pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk membangunkan kawasan tersebut menjadi satu tarikan pelancongan, selain menyelesaikan isu gelandangan secara menyeluruh.

Pasukan petugas itu terdiri daripada pihak MBM, polis, Jabatan Kesihatan Hospital Miri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri, Pejabat Residen Miri dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Pasukam petugas ini diketuai oleh Kaunselor Leslie Lau.

 “Penubuhan pasukan petugas ini, sebab kita merancang membangunkan dan mencantikkan Old Man Street Miri ini sebagai tarikan pelancong di Miri, malah pihak MBM telah memohon pembiayaan berjumlah RM1.5 juta daripada Kementerian Pelancongan Malaysia untuk inisiatif itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.  

Ujarnya, antara perancangan yang bakal dilakukan adalah memasang lebih banyak lampu untuk menerangi kawasan tersebut dan satu sesi perbincangan dengan pemegang taruh iaitu para perniaga di Old Man Street agar beberapa aktiviti dapat dijalankan dalam usaha memeriahkan suasana waktu malam," katanya.

Beliau yakin, dengan aktiviti tersebut ia dapat mengekang golongan gelandangan 'berumah' di kaki-kaki lima sepanjang deretan bangunan kedai di kawasan itu.

Beliau turut mencadangkan agar Perkampungan Sukan Petronas di Jalan Datuk Tuah Johari dijadikan tempat perlindungan sementara untuk menempatkan gelandangan yang berkeliaran di sepanjang jalan setinggi lima kaki di Old Man Street.
Next Post Previous Post