Fadillah Yusof temui Airlangga Hartarto, Zulkifli Hasan bincang isu sawit dan getah

JAKARTA-- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengadakan pertemuan dengan dengan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, untuk membincangkan isu berkaitan industri sawit hari ini.

Jelas Menteri Perladangan dan Komoditi itu, antara perkara utama yang akan dibincangkan ialah berkaitan strategi untuk menangani peraturan Kesatuan Eropah (EU), terutamanya European Union Deforestation Regulation (EUDR), yang meletakkan industri sawit dalam risiko.

Selain itu, kata Fadillah, pertemuan itu juga untuk mempertingkatkan kerjasama menerusi Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

"Sepanjang di sini saya juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Indonesia, Dr Zulkifli Hasan, untuk membincang dan memperkukuhkan kerjasama kedua-dua negara melalui Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) dan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

"Lawatan kerja tiga hari saya dan rombongan dari Kementerian Perladangan dan Komoditi - KPK serta agensi ke Indonesia, bertujuan memperkukuhkan kerjasama serantau dalam sektor agrikomoditi," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya semalam.

Terdahulu, Fadillah bersama rombongan telah menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Diaspora Malaysia di Jakarta.
Next Post Previous Post