Remaja tular diaibkan mencuri makanan dan keperluan akan dibantu - Fatimah

SONG— Beberapa agensi kerajaan tampil membantu seorang remaja yang viral di media sosial selepas ditangkap mencuri di sebuah kedai di sini.

Menteri Pembangunan Wanita Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, wakil kementerian di Song sudah menjalankan siasatan dan tindakan susulan akan diambil.

“Saya sudah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu. Langkah berikutnya ialah melawat rumah remaja tersebut.

Kita akan membantu remaja bermasalah tersebut,” katanya melalui sistem WhatsApp kepada Borneo Network.

Difahamkan, pelajar Tingakatan 4 di SMK Song itu dijaga oleh neneknya selepas kedua-dua ibu bapanya bercerai, manakala datuknya sudah lumpuh.

“Tinggal nenek seorang menyara kehidupan mereka dengan hasil berjual sayur kampung di rumah mereka di Sungai Melipis, Kapit.

Berapa sangatlah kudrat seorang nenek, hanya mampu memberikan RM10 untuk belanja remaja tersebut turun ke sekolah,” kata sumber kepada Borneo Network.

Semalam, pemilik kedai dikenali sebagai Sudin melalui Facebooknya telah berkongsi gambar remaja bersama barangan yang dicuri antaranya mi segera dan biskut.

Perkongsian itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi yang berbeza daripada netizen.

Rata-rata netizen mengecam tindakan individu tersebut yang keterlaluan mendedahkan identiti lengkap remaja tersebut kepada khalayak ramai.

“Kamu boleh memarahi remaja tersebut jika benar mencuri, namun mendedahkan identiti suspek serta nombor Kad Pengenalan bukan cara yang betul dan melanggar undang-undang.  

Kami faham tujuan asal kamu bagus untuk memberi pengajaran, namun ini bukan caranya. Jangan lupa kita ada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” kata mereka.

Hantaran tersebut bagaimanapun sudah dipadamkan selepas campurtangan pihak berkuasa.

Sebelum ini, remaja tersebut dilaporkan mencuri di sebuah farmasi namun tidak diviralkan.

Pihak farmasi telah membuat laporan polis, namun menarik balik laporan tersebut selepas mengetahui latar belakang remaja malang itu.

Difahamkan remaja tersebut telah digantung sekolah selama dua minggu dan diarahkan pihak sekolah pulang ke rumah panjang.

"Kita tidak mahu remaja ini tercicir dan menjadi korban kepincangan sistem sosial. Kita sedaya upaya akan membantu beliau. Kita ingin menyelamatkan beliau supaya menjadi warganegara berguna serta berjasa kepada negara, dan tidak berakhir menjadi masalah sosial," kata seorang sumber.

Kami difahamkan ada pihak lain juga ingin membantu pelajar itu sedang menunggu beliau selesai menghadapi penggantungan berikutan pelanggaran disiplin untuk menyerahkan bantuan serta memberi dorongan agar beliau terus bersekolah, dan tahu bahawa masih ramai orang sayang serta mendoakan remaja itu berjaya dalam hidup.
Next Post Previous Post