34 projek alami kelewatan kritikal, 29 di belakang jadual- Abang Jo

KUCHING-- Sebanyak 34 projek mengalami kelewatan kritikal di Sarawak, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau memberitahu, jumlah itu daripada 215 projek dalam pembinaan yang sedang dilaksanakan di Sarawak setakat 27 Januari 2023.

"JKR Sarawak telah melaporkan kepada saya status pelaksanaan projek sekarang yang amat membimbangkan. 

"Sehingga 27 Januari 2023, daripada 215 projek dalam pembinaan, 34 projek mengalami kelewatan kritikal, 29 projek di belakang jadual dan 149 projek mengikut jadual. 

"Saya juga menerima maklum balas semasa Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri (SDMC) di mana dua taklimat terakhir telah diadakan di Bahagian Bintulu dan baru-baru ini di Bahagian Kapit. Mesyuarat seterusnya akan diadakan di Bahagian Miri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Seminar "Memperkasakan Industri Pembinaan di Sarawak" di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Jelas Abang Johari, selepas diberi taklimat oleh agensi pelaksana, beliau mendapati terdapat banyak isu dan cabaran yang dihadapi di lapangan termasuk kekurangan komitmen dan prestasi buruk kontraktor.

Tambahnya, antara projek yang mengalami kelewatan kritikal adalah projek membina dan menyiapkan Muzium Pembangunan Limbang, Galeri Sejarah Pentadbiran Limbang, Sarawak yang mengalami kelewatan setahun.

Selain itu, katanya, projek menaik taraf lima bulatan sepanjang Lebuhraya Kuching-Samarahan yang tertangguh selama 2 tahun), Cadangan Jambatan Marudi Merentasi Bahagian Batang Baram Miri, Sarawak (tertangguh lebih kurang 3 tahun); Cadangan Jalan dari Jalan Lubok Tranggas ke Kpg Gedong, Samarahan (tertangguh selama 1 tahun); dan Cadangan Jalan Kampung Medong/Lebrassau/ Kampung Klid, Daerah Dalat, Bahagian Mukah (tertangguh selama 2 tahun).

Justeru, beliau mengingatkan semua kontraktor terlibat agar lebih serius dan komited dalam melaksanakan projek di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak. 

Tegasnya, integriti dan profesionalisme mesti dipertahankan semasa pelaksanaan projek. 

Tambahnya lagi, adalah penting untuk kontraktor mengambil perhatian berhubung dengan kapasiti dan keupayaan mereka sendiri apabila menjalankan projek kerajaan. 

"Kontraktor mesti memastikan bahawa langkah dan inisiatif diambil untuk membina sumber firma mereka terutamanya dari segi keupayaan kewangan dan teknikal mereka. 

"Oleh itu, kontraktor yang ingkar / tidak cekap tidak akan diterima lagi," tegasnya.

Berdasarkan Model Penilaian Tender Baharu, JKRS Nilai, jelas beliau, kriteria penilaian telah diperkukuh dengan sewajarnya dan dibuat lebih ketat untuk menapis kontraktor yang dikatakan tidak cekap dan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, kerajaan Sarawak memandang serius matlamat pembangunannya dan juga akan melakukan yang terbaik untuk membantu pemain industri bagi memastikan kecemerlangan penyampaian projek.

"Oleh itu, saya telah mengarahkan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri (SFS), Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) dan JKR Sarawak untuk memudahkan dan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk pemain industri untuk menyusun rancangan dan mewujudkan yang terbaik bagi penyelesaian untuk menyelesaikan isu dan cabaran yang mungkin dihadapi oleh pemain industri di lapangan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan Sarawak sentiasa bersedia untuk membantu bagi memastikan semua projek pembangunan infrastruktur dapat disiapkan tepat pada masanya untuk Rakyat.

Gambar kredit Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS
Next Post Previous Post