Op Lejang: Dua ditahan positif dadah, 31 saman dikeluarkan

SERIAN-- Dua lelaki ditahan positif dadah semasa Op Lejang yang dijalankan di kawasan pasar Baki-Tarat di sini malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata, saringan ujian air kencing mendapati dua lelaki terbabit positif dadah jenis Methamphetamine.

"Op Lejang ini dijalankam dari jam 10 malam hingga 12 tengah malam tadi oleh Ibu pejabat Polis Daerah Serian untuk mengesan dan mencegah kes-kes kecurian kenderaan di samping mencegah aktiviti lumba haram. 

"Operasi yang dijalankan selama 2 jam tersebut diselaraskan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dengan dibantu oleh lain Cawangan Polis IPD Serian dengan kekuatan seorang pegawai dan 17 anggota lain-lain pangkat," katanya menerusi kenyataan media hari ini. 

Jelasnya, sepanjang operasi dijalankan sebanyak seramai 52 individu diperiksa beserta motosikal sebanyak 43 buah dan kereta dua buah.

"Sebanyak 31 saman telah dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan seperti tiada lesen memandu dan kenderaan diubah suai," ujarnya. 

Justeru, tegas beliau, pihak polis akan terus menjalankan operasi seperti ini sepanjang masa.
Next Post Previous Post