Naiktaraf khidmat PBT kepada rakyat, bukan belanja puluhan juta bina pejabat baharu - DAP Sarawak


KUCHING-- Pihak berkuasa tempatan (PBT) harus meningkatkan kualiti perkhidmatan dan infrastruktur asas yang disediakan demi kesejahteraan masyarakat.

Pembantu Khas Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian 江峰年 berkata, isu banjir dan kutipan sampah terutamanya di kawasan bandar hingga kini masih lagi belum dapat diselesaikan.
"Hari ini saya melawat penduduk di Taman Batu 9 1/2 yang telah menetap di situ lebih 20 tahun.


"Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh penghuni di situ, Puan Goh, rumahnya akan dilanda banjir kilat apabila hujan turun berterusan selama sejam.
"Ini disebabkan air hujan tidak mempunyai sistem saliran yang sempurna akibat parit yang rosak dan tersumbat," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambahnya, pihak kontraktor yang dilantik PBT juga tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.
"Penghuni memaklumkan sudah 10 tahun tidak melihat kontraktor yang dilantik PBT membersihkan longkang dan parit di kawasan sekitar taman itu," katanya.
Selain banjir kilat, kata Michael, penghuni juga berdepan dengan isu kutipan sampah yang tidak teratur.
"Tidak ada kutipan sampah yang tetap di sini oleh kontraktor yang dilantik Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
"Keadaan ini menyebabkan sampah sarap yang dibuang diselongkar anjing menyebabkan persekitaran di kawasan berkenaan selerak dengan sampah," katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa Pengerusi MPKS Dato Peter Minos segera mengatasi isu berkenaan dan bertindak dengan secepatnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen 张健仁 dalam kenyataannya turut menyuarakan perkara yang sama dan meminta PBT meningkatkan dan memperkasakan perkhidmatan mereka kepada rakyat.
"Daripada membelanjakan RM60 juta duit pembayar cukai di Sarawak untuk membina bangunan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) baharu lebih baik dana itu digunakan untuk meningkatkan sistem saliran dan perparitan di kawasan MPP.
"Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Pengerusi MPP Lo Khere Chiang harus tahu apa yang perlu diberi keutamaan.
"Sekurang-kurangnya selesaikan dahulu masalah rakyat yang sering dihadapi mereka seperti banjir kilat ini bukannya mengutamakan bangunan baharu MPP," tegasnya.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.